Suasana Pilu Masih Menyelubungi Keluarga Nurin

Image Hosting

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Walaupun jasad Nurin Jazlin Jazimin, 8, sudah selamat disemadikan, namun suasana pilu masih menyelubungi keluarga kanak-kanak malang itu terutama ibunya, Norazian Bistaman yang hanya mampu membisu seribu bahasa.

Tidak ada kata yang mampu diucapkan oleh Norazian setiap kali disapa tetamu dan sahabat handai kecuali dengan deraian air mata.

Begitu juga dengan bapa mangsa, Jazimin Abdul Jalil yang masih kelihatan sebak dan tidak banyak bercakap.

Sementara itu, rumah keluarga mangsa hari ini bertali arus menerima kunjungan orang ramai dan sahabat handai yang bersimpati dengan nasib yang menimpa kanak-kanak
malang itu.

Namun ia tidak mampu menghilangkan kesedihan Jazimin dan ahli keluarganya ekoran kehilangan Nurin Jazlin yang begitu tragis.

Jazimin yang sugul dilihat tidak banyak bercakap manakala Norazian hanya menyambut setiap soalan dengan deraian air mata.

Sementara itu ketika wartawan cuba mendapatkan reaksi Jazimin dan Norazian di rumah kanak-kanak malang itu di Seksyen 1 Wangsa Maju di sini hari ini, seorang saudaranya dengan nada sedih berkata: “Kes Nurin dah berakhir.”

Pada 20 Ogos lalu, Nurin Jazlin, murid tahun dua Sekolah Rendah Desa Setapak di sini, dilaporkan hilang setelah keluar bersendirian untuk ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1 Wangsa Maju.

Usaha mencarinya di Kuala Lumpur dan beberapa negeri selama sebulan tidak membuahkan hasil.

Bagaimanapun, pada Isnin lalu, selepas 27 hari Nurin Jazlin hilang, masyarakat digemparkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg
pakaian di sebuah premis perniagaan di Jalan PJS 1/48, Taman Petaling Utama, Petaling Jaya.

0 comments: