Masalah Ringan-Ringan Di Kalangan Remaja Belum Berkahwin

Soalan

DANG Setia, hati saya tidak berdaya lagi untuk memendam masalah ini dan mengharap Dang Setia dapat membantu. Saya sebenarnya tidak pandai sangat menulis surat, tapi berharap Dang Setia faham apa yang akan saya ceritakan.

Masalah saya ialah, saya ingin tahu cara membuatkan seseorang itu tidak ketagih seks. Perkara ini tidak berlaku pada saya, tetapi pada teman lelaki. Setiap kali berjumpa, kami sering melakukan maksiat (ringan-ringan) .

Kami tahu perbuatan itu salah, tapi kami tetap melakukannya. Kami pernah ditangkap polis, tapi ‘terlepas’. Sebenarnya saya terpaksa melayan kehendak teman lelaki kerana takut dikecewakan sekali lagi, selain malu kepada keluarga kerana mereka kenal teman
lelaki saya.

Ini kerana teman lelaki selalu mengugut jika saya tidak melayan kehendaknya. Contohnya, dia tidak ingin berjumpa saya untuk tempoh lama dan jika ingin berjumpa saya, mesti di rumah saya atau ditemani keluarga.

Saya pernah bertanya bila dia ingin bertaubat, tapi katanya apabila tiba masanya dan apabila sudah berumahtangga.

Jadi, kini saya ingin tahu cara membuatkan seseorang itu tidak ketagih seks atau dapat mengawal nafsu. Bagaimana juga cara menginsafkan teman lelaki saya.

Saya pernah bertanya masalah ini pada rakan dan dia mencadangkan saya tinggalkan saja teman lelaki saya. Masalahnya, saya terlalu sayang dan tidak mungkin meninggalkannya. Pada saya, jalan terbaik ialah membimbingnya supaya dia tidak tersasar jauh.

Dang Setia, sebelum kami berkenalan, teman lelaki saya pernah melanggan pelayan pelanggan (GRO) dan menghisap ganja, tapi katanya, dia sudah berhenti kerana ingin
menumpukan perhatian pada pelajaran kerana masih menuntut.

Saya berharap Dang Setia dapat memberi panduan supaya hubungan kami berjalan lancar tanpa melakukan maksiat dan saya dapat mengubah sikap buruk teman lelaki.

INSAN MALANG
Johor

Jawapan

Dang Setia tidak tahu berapa umur adik kerana adik tidak menyatakannya, namun Dang Setia percaya umur saudari masih muda dan besar kemungkinan masih bersekolah atau menuntut di institusi pengajian tinggi.

Dang Setia membuat andaian ini berdasarkan tulisan adik yang didapati menyerlahkan unsur ketidakmatangan adik. Jika betul andaian Dang Setia, sesungguhnya ia sangat menyedihkan.

Ini kerana, pada usia adik sepatutnya membicarakan soal pelajaran, itu tidak berlaku. Sebaliknya adik membicarakan soal cinta dan maksiat.

Agak lucu dan mengelirukan apabila adik berkata antara sebab adik terpaksa melayan nafsu teman lelaki ialah kerana adik malu kepada keluarga mereka yang mengenali adik.

Pelik, sepatutnya disebabkan malu kepada keluarganya, adik perlu mengelak melakukan maksiat. Seperkara lagi, adik menyatakan teman lelaki mengugut tidak mahu berjumpa adik dalam tempoh panjang dan jika berjumpa pun mesti ditemani keluarga.

Sebenarnya, ini ugutan bagus. Jika perjumpaan sering mendorong kepada maksiat, memang anda berdua sepatutnya tidak berjumpa. Perjumpaan yang turut ditemani keluarga digalakkan Islam kerana boleh mengelak maksiat.

Jadi, kenapa adik perlu kecewa dengan ugutan itu. Adik sepatutnya tiada masalah menerima peraturan itu kerana dengan cara itu adik dapat mengelak melakukan maksiat
atau ‘ringan-ringan’ dengan teman lelaki.

Bagi Dang Setia, ini semua sekadar menunjukkan ketidakmatangan adik. Dang Setia juga kesal dan kecewa kerana adik berpendirian tidak mungkin meninggalkan teman lelaki biarpun jelas dia setakat ini lebih banyak membawa adik ke jalan keburukan, bukan kebaikan.

Adik juga sepatutnya tidak terlalu ghairah membimbing teman lelaki ke jalan kebaikan. Memang niat adik baik, tetapi disebabkan tahap kematangan rendah dan pertahanan diri lemah, Dang Setia khuatir niat baik adik tida kesampaian.

Lebih membimbangkan, bukan saja adik gagal membimbingnya ke jalan kebaikan, tapi adik pula yang akhirnya terjerumus ke lembah maksiat. Perkara seperti ini sering berlaku kerana nak ajak orang buat baik bukan senang tapi nak ajak orang buat jahat cukup
mudah.

Oleh itu, Dang Setia nasihatkan adik sepatutnya lebih memberi tumpuan untuk memperkuatkan pertahanan diri. Pertahanan atau benteng diri paling ampuh untuk
menangkis godaan maksiat ialah iman dan takwa.

Jangan takut dengan ugutan teman lelaki, sebaliknya takutlah kepada Allah dan azab-Nya yang menanti di akhirat. Peraturan atau hukum percintaan yang murni dan sejati langsung tidak berkait dengan penyerahan ‘body’.

Sedarilah, biar seagung mana cinta antara Adam dan Hawa, ia tidak menghalalkan maksiat. Dosa tetap dosa dan azab Allah sangat pedih. Jika dia benar-benar cintakan adik dan mahu hubungan berkekalan, dia mesti hentikan permintaan mengarutnya.

Jika dia masih berdegil dan terus memujuk rayu dengan pelbagai helah untuk melakukan ‘ringan-ringan’ terlampaunya, adik tidak perlu teragak-agak untuk memutuskan hubungan. Ingat, daripada ‘ringan-ringan’ lah yang akhirnya membawa kepada zina.

Katakan kepada teman lelaki, adik terpaksa memutuskan hubungan bukan kerana tidak cintakannya, tetapi disebabkan saudari lebih cintakan Allah.

Jika dia mahu memutuskan hubungan kerana kemahuannya tidak dituruti, sah yang dia sebenarnya tidak cintakan adik, tetapi hanya mahukan tubuh adik.

0 comments: