Makanan Yang Aku Tak Ingin Lihat Di Pasar Ramadhan

Aku tak tahulah kamu semua rasa macam mana, tapi aku sedih lihat Pasar Ramadhan sekarang. Semuanya penuh dengan orang yang inginkan duit senang. Macam dah bertemplate. Semua makanan tak seberapa yang kita semua terbeli sebab terpedaya dengan taktik marketing dan perut kita yang dah lapar. Masuk bulan puasa aje, tiba-tiba makanan yang ala kadar tak berapa sedap banyak muncul. Di sini saya paparkan jenis makanan yang memang sebenarnya aku tak ingin lihat di Pasar Ramadhan. Tapi MESTI ada di setiap Pasar Ramadhan.

1. Murtabak
Selain dari Murtabak Johor (atau Singapura. Dah berabad-abad orang Johor dan Singapura bergaduh pasal harta intelek Murtabak istimewa ini) yang memang sedap, tiap-tiap Pasar Ramadhan mesti ada sekurang-kurang 5 gerai yang menjual Murtabak yang paling tak sedap ini. Saiznya berukuran lebihkurang 5sm x 5sm, memang kecil, selalunya berharga antara RM2-3. Aku tak tahu kenapa, tetapi selalunya berwarna kuning dan berminyak gila. Mesti sebab dapur kotor dan minyak tak ditukar. Inti tak penuh, kulit sahaja yang tebal. Mesti dah berlonggok kat atas dapur, dah berjam-jam disediakan, yang kita dapat hanya yang sudah sejuk. Tiap-tiap kali beli mesti rasa tertipu tapi mesti beli juga.

2. Popia
Tak kisahlah sama ada digoreng atau tidak, bila tiba buka puasa sahaja mesti sudah tak sedap. Popia lah paling rasa tertipu sekali. Semuanya gara-gara presentation yang agak menarik. Macam sedap, tapi mesti tak sedap.

3. Roti John
Menu paling mudah untuk disediakan oleh Mat Rempit yang inginkan wang mudah. Memang boleh jadi skim cepat kaya. Roti John yang sedap memang banyak daging Burger Ramly yang dicincang bersama kari, tapi yang dijumpa di Pasar Ramadhan lebih banyak telur dari daging. Baik beli roti telur. Mesti tawar.

4. Kebab
Dahulunya makanan yang agak eksotik, tapi sekarang di mana-mana Pasar Ramadhan mesti ada. Presentation dia memang agak menarik, dengan daging yang didirikan menegak dalam pemanggang khas. Memang mudah tertipu. Bila makan sahaja mesti daging liat dan tawar. Roti pitanya pun keras. Orang Arab yang datang Pasar Ramadhan mesti tak beli punya.

5. Satay
Ataupun satay mini. Mesti komposisi lidi lebih tinggi dari daging. Masa berbuka pasti kecewa sebab sudah sejuk, dan tak cukup rempah. Pasal kuah kacang dia memang jangan cerita lah. Pasti semua pernah menjadi mangsa.

6. Kuih Tepung Pelita
Yang di Pasar Ramadhan mesti cair gila, dengan ketulan gula yang kasar. Memang mudah tertipu dengan presentation yang gempak. Nampak pengkukus kayu yang ditimbun tinggi-tinggi sahaja kita sudah mudah tertipu. Lepas itu masa makan mesti daun yang distaple itu terbuka, habis baju kena inti kuih.

7. Rojak/Pasembur
Biasanya mamak-mamak yang beroperasi dari van putih akan mengambil peluang berniaga di Pasar Ramadhan. Mudah sahaja, bawa van, parking tepi, terus jual. Memang tak istimewa pun tapi perut yang lapar membuatkan semuanya jadi istimewa. Rojak Singapura sahaja yang sedap, sebab banyak ramuan...

8. Mi/Soto Ayam
Orang berpuasa memang tak boleh buat sup. Mesti tawar. Kalau takpun manis, atau masam, atau memang rasa-rasa yang tiada dalam sup biasa. Lupakan saja lah. Tak kisahlah kamu letak mi ke, bihun ke, nasi himpit ke, semuanya sama. Mesti banyak bawang goreng sahaja.

9. Otak-otak
Paling senang nak dijual. Supplier yang menyediakan otak-otak dalam jumlah yang besar sudah bersepah. Buat panggilan telefon, beli dapur pembakar, semuanya sudah tersedia. Yang gunakan lidi masih boleh diterima. Yang pakai stapler tu yang tak boleh tahan. Walaupun murah tapi kandungan otak-otak secubit sahaja. Kita beli, lepas tu kita rasa bodoh sebab tertipu. Mudah sahaja nak buat duit di Pasar Ramadhan sebenarnya.

10. Nasi Beriyani Johor
Mesti diletakkan dalam periuk besi aluminium yang besar-besar. Lepas itu tambahlah nama 'Mak Minah' atau 'Mak Limah', lepas tu letakkan nama tempat yang bukan tempat Pasar Ramadhan tersebut. Misalnya kalau buka gerai di Pasar Ramadhan Subang, boleh letak 'Nasi Beriyani Mak Minah Keramat'. Nak lagi kick tambah perkataan 'gam'. Mesti laku punya, walhal tiada beza apa-apa pun. Mesti kecewa sebab masa kita beli pun dah sejuk. Tak akan ada nasi beriyani yang panas di Pasar Ramadhan.

Walaupun begitu, ada Pasar Ramadhan yang mempunyai jenis makanan yang unik, dan peniaga yang benar-benar ikhlas dah tak lokek dengan ramuan. Ada, tapi malangnya tak ramai. Jangan tertipu dengan barisan yang panjang, itu semua taktik marketing.

Kita cuma rajin menilai, dan pandai membeli. Orang berniaga di pasar malam ini memang pandai, sebab dia tahu kita tak boleh test makanan dia di gerai, sebab kita berpuasa. Lain kali mudah sahaja, bawa sahaja rakan kamu yang bukan Islam, suruh dia cuba try test tengok.

0 comments: