DBKL Mahu Laksana Caj Masuk Ibu Kota

KUALA LUMPUR 23 Sept: Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan sistem caj yang bakal dikenakan ke atas semua kenderaan yang memasuki ibu negara merupakan satu sistem yang mesra rakyat, selesa dan selamat.

Menterinya, Datuk Zulhasnan Rafique berkata, ini kerana sistem yang bakal dilaksanakan itu telah mengambil kira input-input yang diberikan oleh segenap lapisan rakyat di ibu negara sebelum sistem itu dilaksanakan.

Beliau berkata, sistem itu sedang dikaji dengan teliti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak tiga bulan lalu dan ia turut mengambil kira pandangan agensi- agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, wakil media, orang ramai dan pihak-pihak yang berkaitan.

Bagaimanapun, saya ingin mengingatkan bahawa proses ini memerlukan satu jangka masa dan apabila dilaksanakan nanti, ia akan memuaskan hati semua pihak, katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia sebagai mengulas kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab. Hakim Borhan bahawa DBKL akan mengenakan caj bagi semua kenderaan yang memasuki ibu negara.

Utusan Malaysia difahamkan, menerusi sistem yang dicadangkan itu, orang ramai yang ingin memasuki kawasan Jalan Bukit Bintang, Jalan Tun Razak, Jalan Chow Kit dan Jalan Tuanku Abdul Rahman akan dikenakan caj bagi mengurangkan kesesakan.

Sementara itu, Ab. Hakim berkata, sistem caj masuk itu sangat berjaya dilaksanakan di Stockholm kerana ia berkonsepkan mesra pengguna.

Menurutnya, DBKL kini sedang menjalankan kajian dan melihat sistem di negara-negara lain yang mengamalkan caj masuk ke kenderaan.

Saya yakin DBKL dapat memberikan satu kajian yang komprehensif dan lengkap berhubung cadangan tersebut, katanya.

Ab. Hakim berkata, beliau yakin dengan adanya input yang bernas daripada rakyat kepada DBKL, sistem itu akan dapat menangani masalah kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.

0 comments: