Penjaga Ditahan Berhubung Kes Nurin

Image Hosting

TAK BERMAYA: Wanita warga Indonesia, suspek kes pembunuhan Nurin Jazlin, pengsan ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita warga Indonesia berusia 23 tahun dipercayai terbabit mengurung mangsa penderaan seksual dan pembunuhan kejam, Nurin Jazlin Jazimin, 8, di sebuah pasar raya di Bandar Baru Nilai, tengah malam kelmarin.

Suspek juga dipercayai menjaga makan minum Nurin Jazlin sepanjang tempoh kehilangannya selama 27 hari, sebelum ditemui mati dalam beg pakaian sukan berhampiran pejabat sebuah syarikat di Petaling Jaya, 17 September lalu.

Sumber memberitahu Berita Minggu, wanita yang bekerja di premis menjual pakaian di pasar raya itu dipercayai mempunyai hubungan dengan suspek utama kes berkenaan yang ditahan bersama tiga lagi lelaki, termasuk abang iparnya dalam tiga serbuan berasingan di Shah Alam, kelmarin.

Wanita itu dipercayai pernah beberapa kali menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada Rakan Cop mengkritik cara polis mengendalikan kes kehilangan Nurin dari empat nombor telefon bimbitnya, yang turut dirampas selepas penahanan dibuat.

Satu lagi nombor telefon dikenal pasti digunakan wanita itu untuk menghubungi ibu bapa mangsa bagi memaklumkan kanak-kanak itu dalam jagaannya selepas berita kehilangannya mendapat liputan meluas, katanya.

Difahamkan, ketika ditahan, wanita itu menelan sekeping kad sim telefon bimbit, dipercayai digunakan untuk menghubungi keluarga mangsa sebelum ini bagi menghapuskan bukti yang boleh mengaitkannya dengan kes berkenaan.

Usaha mengeluarkan kad sim berkenaan dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya sebelum suspek dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk ujian DNA.

Selain kad sim, turut dirampas dalam serbuan itu ialah dua telefon bimbit, beg tangan dan wang tunai milik suspek.

Wanita itu yang ditahan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur bersama polis Daerah Petaling Jaya jam 12 tengah malam kelmarin dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, tengah hari semalam untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

Suspek yang berseluar panjang dan berkemeja kuning tiba di mahkamah kira-kira jam 12 tengah hari dengan kawalan ketat polis.

Suasana di luar mahkamah bagaimanapun kecoh seketika apabila wanita itu tiba-tiba pengsan di hadapan kumpulan jurugambar hingga terpaksa diusung dua anggota polis dan seorang wartawan wanita ke dalam bilik mahkamah.

Majistret Maimunah Aid kemudian memerintahkan wanita itu direman selama enam hari sehingga 4 Oktober ini.

Sumber berkata, polis sedang mengenal pasti sama ada wanita itu sama dengan wanita dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi beg berisi mayat mangsa ditemui sebelum ini.

Katanya, seorang pegawai forensik dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlepas ke Amerika Syarikat, kelmarin membawa bersama salinan imej berkenaan untuk dianalisis di Makmal Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Kita berharap FBI dapat membantu mendapatkan gambaran jelas imej wanita ini. Hasilnya diharap dapat diperoleh secepat mungkin bagi membantu siasatan, selain mengesahkan sama ada kedua-dua wanita ini orang yang sama, katanya.

Sumber juga berkata, siasatan sedang diperincikan bagi membantu polis mengenal pasti motif sebenar mangsa didera dan dicabul dengan teruk, sebelum dibunuh.

Suspek utama kes ini pernah ditahan di Masai, Johor tahun lalu selepas didakwa terbabit dalam kes rogol. Kita akan semak semula kes itu sekiranya ada maklumat yang boleh membantu siasatan kes cabul dan bunuh Nurin, katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, berkata suspek terbaru yang ditahan semalam dipercayai mempunyai banyak maklumat yang boleh membantu siasatan kes berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, polis belum menganggap siasatan kes pembunuhan itu sudah selesai dengan penahanan suspek wanita itu.

Siasatan masih dijalankan. Banyak lagi kerja yang perlu dibuat... Semuanya masih dalam siasatan, katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Kelmarin, polis menahan lima orang termasuk sepasang suami isteri hasil tiga serbuan berasingan di Shah Alam melalui Ops Sunti hasil pemantauan rapi polis terhadap beberapa SMS yang dihantar kepada bapa Nurin, Jazimin Abd Jalil, 33, sejak kehilangannya.

Bagaimanapun, wanita itu dibebaskan selepas keterangannya diambil.

Lima suspek, termasuk seorang wanita Indonesia yang ditahan malam tadi disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

0 comments: